Thursday, June 26, 2008

TUDUNG NIPIS..BAJU SINGKAT...SELUAR SEDAT

Bicara kali ini tentang batas aurat,
Terutama sekali bagi muslimat,
Kerana kelihatan dalam masyarakat,
Dibuang Islam dijauhi adat.

Yang kelihatan pada remaja,
Batas aurat tidak diambilkira,
Pakaian tersalut ditubuh tak terjaga,
Tanpa malu, silu dan dosa

Tudung nipis terbayang rambut,
Atau rambut terjulur kerana singkat,
Kain dililit kepala pakai ikat,
Jambul tertonjol rasa hebat.

T-shirt menjadi kegemaran,
Nampak ketiak tiada lengan,
Bulu roma jelas kelihatan,
Parut dan tahi lalat bertebaran.

Baju sendat tertonjol dada,
Sepatutnya dilabuh berlaku tiada,
Lelaki melihat menempa dosa,
Menjadi fasiq mudah sahaja.

Seluar ketat menjadi pakaian,
Tak beza lelaki dan perempuan,
Terutama jeans pudar jadi pilihan,
Sarung nangka pun boleh tahan

Apa jadi dengan remaja,
Islam namanya, iman tiada,
Perintah Tuhan buat bersahaja,
Larangan Allah buat selamba,

Allah murka Syaitan senang,
Nabi kata: ‘Perempuan berpakaian tapi bertelanjang’
Ada baju tak cukup benang,
dihumban ke neraka cukup malang.

Saya hanya boleh menasihat,
Kepada remaja dan muslimat,
Ikut Islam akan selamat
Ikut syaitan akan dilaknat.

Wednesday, June 25, 2008

Tip-tip Bagaimana Menjadi Jutawan Daripada Al-Quran

Mahmud Ibn Labid r.a. pernah berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda, "Dua perkara yang tidak disenangi oleh anak Adam. Mati, padahal mati itu adalah lebih baik dari dugaan (kesesatan). Harta yang sedikit, padahal harta yang sedikit meringankan hisab. [1]

Namun sekiranya anda ingin juga menjadi seorang jutawan, Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah An-Nuur ayat 37 hingga 38, "(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan."

"(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung."

Bermaksud, dengan mengingati Allah, mendirikan solat, memberi zakat dan sedekah, takutkan hari kiamat kerana akan diadili, seseorang itu akan mendapat limpah kurnia Allah dan pembalasan yang paling baik. Allah sesungguhnya satu-satunya sumber segala rezeki dan Dia akan menambahkan kurniaNya kepada hamba yang mempunyai ciri-ciri seperti di atas.

Kajilah Al-Quran dengan sebenarnya-benarnya , kerana tips untuk menjadi jutawan banyak terdapat di dalam Al-Quran. Terjemahan Al-Quran bermodalkan RM20 di pasaran. Menurut Abu Said r.a., Allah berfirman di dalam sebuah hadith qudsi, "Sesiapa yang disibukkan oleh Al-Quran daripada berzikir dan meminta kepadaKu, maka Aku akan memberikan kepadanya sesuatu yang lebih utama daripada diberikan kepada orang yang meminta kepadaKu" [2]

Sekiranya anda bukan berniat untuk menjadi jutawan, tetapi sekadar ingin hidup sederhana, beribadat kepada Allah. Serta dalam masa yang sama tidak mahu mempunyai bebanan hutang dan dikurniakan kecukupan dalam semua perkara, amalkan membaca Surah Al-Waqiah setiap malam. Menurut Ibnu Mas'ud, Rasulullah s.a.w telah bersabda, "Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam, ia tidak akan ditimpa kemiskinan selama-lamanya. "[3]

Sekiranya anda sekarang berada di dalam keadaan terdesak, ditimpa kesusahan, memerlukan "fast-cash" untuk sesuatu perkara mustahak, maka ikutlah petua Rasulullah s.a.w. Di dalam sebuah hadith yang diriwayat oleh Huzaifah r.a., apabila Rasulullah s.a.w mengalami kesulitan, beliau akan segera mengerjakan solat.[4] Solat yang dimaksudkan adalah solat sunat. Ini adalah selaras dengan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 45, "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk".

Di dalam riwayat lain diceritakan oleh Abdullah bin Salam r.a., ketika keluarga Rasulullah menghadapi sebarang kesempitan rezeki, beliau akan memerintahkan mereka mendirikan solat dan membaca ayat 132 surah Taha.[5]Firman Allah di dalam ayat berkenaan, "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa."

Kebanyakkan yang mengamalkan tip ini mendapat kemurahan rezeki yang luas dan "low profile". Mereka tidak terburu-buru dan tergesa-gesa dalam mengejar kesenangan. Kebanyakkan mereka akhirnya menjadi komited dalam beribadat atau melakukan aktiviti dakwah. Mereka hanya melakukan sedikit pekerjaan dunia, namun kurnia yang diperolehi melebihi apa yang mereka kerjakan.

Wallahu'alam

Sumber:http://webblog. myjodoh.net/ 2007/06/20/ tip-tip-bagaiman a-menjadi- jutawan-daripada -al-quran/

Sunday, June 22, 2008

Mutiara Kata Pujangga




Kata-kata Pujangga:"Berfikir sejenak, merenung masa lalu adalah permulaan yang baik untuk bertindak."


Kata-kata Pujangga: "Rahsia untuk berjaya ialah menghormati orang lain."


Kata-kata Pujangga: "Saya percaya; esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi pada hari esok."


Kata-kata Pujangga: "Yang telah berlalu biarkan ia berlalu, yang mendatang hadapi dengan cemerlang."


Kata-kata Pujangga: "Banyak perkara yang kita ingini, tidak semua yang akan kita dapat."


Kata-kata Pujangga: "Kadang-kadang sesuatu yang berharga itu kita sedari setelah ia meninggalkan kita, dan kala itu kita hanya pasrah."


Kata-kata Pujangga: "Untuk mencicip kemanisan, perlu bermula dengan mengupas kepahitan."


Kata-kata Pujangga: "Tiada yang paling bernilai pada sebuah kejayaan selain sebuku usaha."


Kata-kata Pujangga: "Berbuat baik jangan sekali, buatlah berkali-kali."


Kata-kata Pujangga: "Kasihkan manusia lepaskan dia kepada pilihan dan keputusannya kerana di situ tanda kita gembira melihat insan yang kita sayangi beroleh bahagia."


Kata-kata Pujangga: "Kawan ketawa mudah dicari, kawan menangis keseorangan diri."


Kata-kata Pujangga: "Jangan sesekali menggadai prinsip, demi untuk mendapat dunia yang mengiurkan."


Kata-kata Pujangga: "Biarpun jalan itu panjang, kita akan merintisnya perlahan-lahan."


Kata-kata Pujangga: "Hidup ini adalah warna-warni yang terlakar pada kanvas, walaupun tidak cantik ia tetap mempunyai sejuta maksud."


Kata-kata Pujangga: "Sesuatu khayalan kadang-kadang menjadi realiti."


Kata-Kata Pujangga: "Tidak ada manusia yang hidup untuk gagal, tetapi tidak merancang adalah merancang untuk gagal."


Kata-kata Pujangga: "Manusia tidak perlu dihukum kerana lupa, tetapi manusia perlu dihukum kerana sengaja lupa."


Kata-kata Pujangga: "Andai hidup punca perpisahan, biarlah mati menyambungnya semula. Namun seandainya mati punca perpisahan, biarlah hidup ini membawa erti yang nyata."


Kata-kata Pujangga: "Mereka mendahulukan akhirat ke atas dunia, mencintai kematian di dalam ketaatan, dan melebihkannya dari kehidupan pada kemaksiatan. Jika berkuasa mereka menghukum dengan adil, mereka memerintah dengan anjuran Islam, mereka zuhud, mereka berbuat baik, maka merekalah orang-orang yang beruntung! Kitakah mereka itu?"


Kata-kata Pujangga: "Jika dunia ini persinggahan, mengapa tidak kita banyakkan bekalan untuk meneruskan perjalanan? Kerana kita cuma ada satu persinggahan."


Kata-kata Pujangga: "Kekayaan boleh mengaburkan jalan yang jujur"


Kata-kata Pujangga: "Tidak akan ada kemakmuran tanpa kasih sayang, Hanya mereka yang beriman sahaja tahu akan erti kasih sayang."


Kata-kata Pujangga: "Masihkah ada dendam yang bersisa tika tangan bersentuhan mesra."


Kata-kata Pujangga: "Sebuah kebenaran kadangkala mengandungi kesilapan."


Kata-kata Pujangga: "Manusia tak akan berjaya selagi sentiasa mengenangkan kegagalan yang pernah
ditempuhinya."


Kata-kata Pujangga: "Untuk mendapat sesuatu yang besar, kita patut banyak berkorban
perkara-perkara yang kecil."


Kata-kata Pujangga: "Tiada siapa akan mengubah saya, oleh itu saya perlu ubah diri sendiri."


Kata-kata Pujangga: "Seorang juara tidak menangguhkan kerjanya."


Kata-kata Pujangga: "Tidak berakal seseorang manusia apabila tidak mahu menerima dan meminta nasihat daripada orang lain."


Kata-kata Pujangga: "Hidup ini adalah keputusan diri sendiri."


Kata-kata Pujangga: "Setiap manusia mahu dihargai, sekurang-kurangnya berilah senyuman kerana memberikan senyuman seperti memberikan orang lain peluang."


Kata-kata pujangga: "Adakalanya kita perlu menangis agar kita tahu bahawa hidup ini bukan sekadar untuk ketawa dan adakalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menilai mahalnya setitis air mata."


Kata-kata Pujangga: "Barangsiapa yang tidak mampu untuk mendidik dirinya, nescaya tidak mampu untuk dia mendidik orang lain."


Kata-kata Pujangga: "Barangsiapa yang sengaja meletakkan dirinya di tempat-tempat tohmahan, maka janganlah dia mencela orang yang buruk sangka terhadapnya."


Kata-kata Pujangga: "Dunia ini adalah umpama bangkai sedang pemburunya persis seekor anjing."


Kata-kata Pujangga: "Barangsiapa yang panjang kemarahannya maka sirnalah adab dan akhlaknya."


Kata-kata Pujangga: "Bahagia seseorang manusia tidak terletak pada penilaian orang lain, duka seseorang manusia tak sama dirasai orang lain, tetapi bahagia yang hakiki adalah ketaqwaan yang semua manusia patut miliki."


Kata-kata Pujangga: "Orang yang tidak menghormati orang lain tidak akan dihormati."


Kata-kata Pujangga: "Barangsiapa yang tiada sifat penyayang maka dia tidak akan disayangi"


Kata-kata Pujangga: "Barangsiapa yang tidak pernah merasai sesuatu, nescaya tidaklah ia mengetahui."


Kata-kata Pujangga: Seandai dirinya tercipta untukku, rela kumenjadi miliknya." - Nur Kasih


Kata-kata Pujangga: "Manusia gagal bukan kerana kebodohan, tetapi mereka gagal kerana melakukan perkara yang bodoh."


Kata-kata Pujangga: "Berkatalah benar sekalipun kebenaran itu pahit."


Kata-kata Pujangga: "Orang yang bijak tidak akan melengah-lengahkan kerjanya. Jangan kau tangguh kerja hari ini untuk esok hari!"


Kata-kata Pujangga: "Jika kail panjang sejengkal, usah diduga lautan yang dalam, walaupun lautan itu tidak bergelora."


Kata-kata Pujangga: "Manusia yang berakal sentiasa memikirkan perkara yang berfaedah."


Kata-kata Pujangga: "Kebenaran itu ibarat air yang mengalir, sekalipun disekat ia tetap akan terus mengalir."


Kata-kata Pujangga: "Mereka yang menghidupkan sunnah Rasulullah SAW di akhir zaman umpama menggenggam bara api yang menyala. Kitakah mereka itu?"


Kata-kata Pujangga: "Kita tidak akan ke mana-mana selagi tidak mahu melakukan perubahan."


Kata-kata Pujangga: "Rumah yang kecil kadangkala mampu melahirkan tokoh yang hebat"


Kata-kata Pujangga: "Hidup tanpa cita-cita, sia-sia. Hidup tanpa usaha tak ke mana."


Kata-kata Pujangga: "Manusia diuji oleh Allah berdasarkan keimanan yang mereka miliki."


Kata-kata Pujangga: "Tangisan seorang bayi adalah serungkai kata yang penuh makna."


Kata-kata Pujangga: "Manusia mampu mengemukakan 1000 alasan mengapa mereka gagal tetapi mereka sebenarnya hanya perlukan satu sebab yang kukuh untuk berjaya."


Imam al-Ghazali berkata: "RAJIN adalah penawar yang paling mujarab, sedang MALAS adalah racun yang sangat berbisa."


"Do what you can with what you have right where you are." - Henry Truman.


Kata-kata Pujangga: "Tiada yang mustahil di sisi Allah SWT untuk menjadikannya."


Berkata seorang Ahli Sufi : "Siapa yang takut kepada Allah, nescaya semua makhluk takut kepadanya."


It is not a mountain that we conquer but ourselves - Edmund Hillary


Kata-kata Pujangga: " Kenapa manusia menyerahkan kehidupannya untuk ditentukan oleh orang lain sedangkan dia mampu berdoa kepada Tuhannya dan tiada siapa yang boleh menghalangnya berdoa?"


Berkata Ar-Rumi: "Manusia dilahirkan dengan kemampuan untuk terbang, kenapa pula mereka memilih untuk merangkak sepanjang hayat."


Kata-kata Pujangga: "Kemenangan bermula dari dalam diri."


Ibnu Mu'taz pernah berkata: Penyimpan harta itu mati walaupun ia masih hidup. Penyimpan ilmu pula hidup walaupun ia telah mati.


Kata-kata Pujangga: "Setiap manusia dilahirkan sebagai seorang juara, kita tidak kalah walaupun berada di bawah tetapi kita kalah sekiranya kita tidak bangun semula."


Berkata Abu Sulaiman: "Apabila hati menangis kerana kehilangan, roh pula akan ketawa (gembira) kerana kerinduan."


Kata-kata Pujangga: "Angan-angan tidak akan mengubah kita walau seinci, tetapi apa yang kita laksanakan itulah yang mengubah kita."


Kata-kata Pujangga: "Kemahuan yang tinggi akan mengubah persepsi seseorang terhadap sesuatu sehingga yang mustahil pun bisa terjadi."


Kata-kata Pujangga: "Andai dambakan isteri semulia Fatimah az-Zahra jadilah semulia Ali KW, Andai impikan seorang suami sehebat Ali KW bentuklah diri semulia Fatimah az-Zahra."

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD

9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH DI LEMBAH URANAH, GUNUNG ‘ARAFAH

“Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba’, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba’ hendaklah dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh. Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya. Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu

Wednesday, June 4, 2008

Cinta kpdNYA



sekiranya tiada penawar berbisa, jangan cuba mencari cinta manusia, Kelak dirimu akan binasa..jika cinta manusia datang menduga tanpa diminta kehadirannya, maka bercintalah kerana-Nya.

KATA -KATA HIKMAH KHULAFA' AR-RASYIDIN

KATA -KATA HIKMAH KHULAFA' AR-RASYIDIN

SAIDINA ABU BAKAR RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu:

Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau;
hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau;
hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau;
adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna

SAIDINA UMAR AL-KHATTAB RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya
Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina
Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya
Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga

SAIDINA UTHMAN BIN AFFAN RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:
Hatinya selalu berniat suci
Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
Segala perkara dihadapaiya dengan sabar dan tabah
Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.

SAIDINA ALI KARRAMALLAHU WAJHAH BERKATA:

Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'
Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia
Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya
Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara'
Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi
Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki
Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan
Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya, siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya, siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara', sedang orang yang tidak wara' itu bererti hatinya mati